widgets

Sejarah Kelab/Gimnastik


KELAB SUKAN GIMNASTIK DARUL IMAN (KSG DARUL IMAN) adalah sebuah kelab yang ditubuhkan oleh ibubapa kepada pelatih-pelatih gimnastik artistik Terengganu yang berpusat di SK Bukit Payong dibawah naungan PIBG SK Bukit Payong pada Oktober 2010, sebelum ini dikenali sebagai KELAB IBUBAPA ATLIT GIMNASTIK ARTISTIK TERENGGANU. 


Pada awal tahun 2012 setelah diadakan perbincangan dan menempuh pelbagai rintangan untuk menaikkan negeri Terengganu dalam sukan gimnastik kerana ketiadaan tempat untuk latihan (setelah dewan sekolah Kebangsan Bukit Payong dirobohkan kerana faktor keselamatan), beberapa orang ibubapa telah memohon kepada YB Alias bin Abdullah dan penduduk kampung Alor Limbat untuk menggunakan Stor JKKK Alor Limbat sebagai Dewan latihan gimnastik. Setelah mendapat kebenaran YB Alias dan penduduk kampung, stor JKKK Kampung Alor Limbat telah bertukar wajah dan nama kepada Dewan Gimnastik Artistik Kampung Alor Limbat. 


Ibubapa, guru-guru serta jurulatih sekali lagi berbincang untuk menaikkan nama negeri Terengganu, Kampung Alor Limbat dan penduduk kampung dalam sukan gimnastik ini dengan bersetuju untuk menukar nama Kelab Ibubapa Atlit Gimnastik Artistik Terengganu kepada KELAB SUKAN GIMNASTIK DARUL IMAN.


Penubuhan kelab ini bertujuan untuk melaksana dan menjayakan misi dan visi program 1Murid 1Sukan (1M1S) demi mengembalikan kegemilangan sukan negeri dan negara seperti yang dihasratkan oleh semua pihak serta menjaga kebajikan pelatih-pelatih, ibubapa dan jurulatih dengan peralatan, kemudahan pusat latihan serta penjagaan kesihatan yang terbaik. Ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan sosial dan menjalinkan perasaan muhibah serta meningkatkan kemajuan intelek dikalangan ahli-ahli.


Kelab ini juga memain peranan sebagai pusat setempat mempromosikan sukan ini, sumber maklumat kepada ibubapa yang berminat dan mempunyai anak berumur 5 hingga 12 tahun untuk menjadi pelatih gimnastik artistik negeri Terengganu yang diletakkan sebagai projek SUKAN BERPRESTASI TINGGI SEKOLAH (SPTS). Kelab juga berperanan menasihati pelatih dan ibubapa kearah kecermelangan masa depan mereka di bidang sukan ini.


Kelab ini juga turut ditubuhkan bagi mengatasi kegagalan beberapa pusat latihan sebelum ini iaitu seperti di SMK Tengku Bariah, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Komplek Wakaf Tengah. Kegagalan pusat latihan tersebut adalah kerana kurang maklumat serta tiada peranan dimainkan oleh sekolah dan ibubapa pelatih (PIBG) sekolah-sekolah tersebut.


Kelab ini juga melihat ke hadapan bagi memastikan para pelajar/pelatih agar mereka menjadi rakyat yang berguna kepada bangsa dan negara dengan menjauhi mereka dari gejala-gejala yang tidak bermoral serta menggalakkan pelatih sentiasa aktif bergerak kearah kehidupan yang sempurna berdasarkan kehormatan diri, berdisiplin dan sifat-sifat berdikari.


Kelab ini juga berusaha memimpin dan mendorong pelatih-pelatih untuk memberi khidmat yang berkualiti dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, serta berusaha merancang dan melaksanakan aktiviti yang sesuai bagi mencapai tujuan untuk menaik taraf sukan- sukan di Malaysia serta memastikan Terengganu menjadi sebuah negeri yang terus gemilang dalam sukan negara dan dunia.


Kelab ini juga memberi perhatian, sokongan dan kebajikan kepada pelatih-pelatih negeri yang telah dipilih untuk dimasukkan ke pusat atau sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.


Kelab ini dicadangkan oleh seorang cikgu yang juga jurulatih sukan gimnastik SK Bukit Payong iaitu Tuan Haji Zulkifli Bin Husain serta mendapat sokongan beberapa orang ibubapa yang mempunyai anak di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar.  Beliau merupakan penaung/penasihat kelab ini, kerana minat beliau yang tinggi dalam bidang sukan ini dan setelah perbincangan diadakan bersama beberapa orang ibubapa, dengan nama KELAB SUKAN GIMNASTIK DARUL IMAN (KSG DARUL IMAN) semua bersetuju melantik YB Tuan Haji ALIAS BIN ABDULLAH sebagai Penasihat / Penaung dan Cikgu Tuan Haji ZULKIFLI BIN HUSAIN sebagai Timbalan Penasihat.


Kelab Sukan Gimnastik Darul Iman (KSG Darul Iman) ini telah didaftarkan di Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 yang telah diluluskan pada 28/11/2012 dengan nombor pendaftaran 5873/2012. 



SEJARAH GIMNASTIK

FALSAFAH GIMNASTIK


Gimnastik ialah pergerakan, latihan fizikal dan senaman yang meningkatkan kekuatan otot. Pergerakan gimnastik terdiri daripada yang senang contohnya berlari, berjalan, melompat dan pergerakan yang kompleks seperti hambur tangan (handspring), putar roda (cartwheel), salto hadapan dan belakang. Pergerakan gimnastik juga terdiri daripada posisi statik yang senang seperti berdiri, menyokong dan yang kompleks seperti dirian tangan buka kaki serta dirian kepala. Pergerakan gimnastik boleh dilakukan dengan menggunakan alatan, di atas peralatan dan tanpa alatan. Pergerakan gimnastik juga perlulah menunjukkan ketepatan, kejituan dan kesempurnaan.

  

PENGENALAN


Gimnastik adalah satu sukan yang melibatkan prestasi pergerakan yang berulang-ulang, malah ia memerlukan kekuatan fizikal, kebolehlenturan (flexibility), dan kesedaran kinestetik seperti hambur tangan dan dirian tangan. Gimnastik merupakan salah satu sukan yang terdapat di Malaysia. Sejarah perkembangan awal sukan tersebut menunjukkan bahawa gimnastik pada mulanya berfungsi sebagai alat kecergasan badan dan akhirnya berkembang sehingga dipersembahkan pada masyarakat umum. Gimnastik dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu termasuklah gimnastik Artistik, Irama, Trampolin, Paparan/Umum, Aerobik dan juga gimnastik Akrobatik. Bagi menguasai setiap gimnastik, konsep asas gimnastik perlu dikuasai terlebih dahulu iaitu konsep, imbangan, kelenturan dan konsep koordinasi. Menerusi perkembangan sukan gimnastik yang semakin mendapat perhatian masyarakat dunia, pengaplikasiannya dalam bilik darjah merupakan langkah yang baik bagi mengasah bakat setiap individu pada peringkat awal khususnya pada kanak-kanak prasekolah.


SEJARAH DAN PERKEMBANGAN AWAL DI DUNIA

Sukan gimnastik telah bermula dan berkembang sejak 2000 tahun dahulu dan sangat berhubung rapat dengan peradaban manusia. Sejak 2000 tahun dahulu orang-orang Cina telah menggunakan senaman beramai-ramai bagi tujuan upacara keagamaan. Seratus tahun kemudian, orang-orang India dan Persia telah mengikutinya. Orang-orang Greek pula telah menamakan pergerakan ini sebagai GYMNASTICS dan tempat melakukan senaman ini secara beramai-ramai dikenali sebagai GYMNASIUM. 

Walaupun perkembangan sukan gimnastik ini tidak dapat dikesan, tetapi Aristotle, seorang ahli falsafah berbangsa Greek telah menulis bahawa gimnastik tidak hanya sebagai seni, malahan ia juga merupakan salah satu bidang ilmu sains iaitu sains kemasyarakatan. Seorang ahli perubatan yang masyhur dan pengikut Hippocrates, Gelen, telah mencipta teori mengenai gimnastik yang menunjukkan ia sesuatu gerak kerja yang berpengetahuan dan mempunyai nilai-nilai yang tinggi dan masih digunakan sehingga sekarang.

Orang Roman pula telah menggunakan fahaman kebudayaan latihan jasmani orang Greek dan kemudian diperkembangkan sehingga menjadi salah satu peralatan dalam latihan ketenteraannya. Mereka juga membina patung kuda kayu untuk berlatih pergerakan naik dan turun kuda sebenar. Selain dari itu, mereka juga berlatih pergerakan ketangkasan lombol yang lain sehingga dikenali sebagai kekuda lombol sampai sekarang.




Empayar Roman di bawah pemerintahan Theodosius 1 dalam tahun 493 Masihi telah menghapuskan Sukan Olimpik purba dan berikutan dengan itu, kegemilangan sukan tersebut juga turutmerosot. Dengan runtuhnya Empayar Roman juga telah membawa kemerosotan minat orang ramai terhadap sukan gimnastik ini. Dalam abad ke-19, kebangkitan minat terhadap sukan purba ini kembali wujud. Dengan terbitnya buku, Gymnastics for youth oleh Guths Muth dalam tahun 1759 hibgga 1839 dan terjemahannya di sebar ke seluruh Eropah, telah banyak mempengaruhi perkembangan peringkat awal sukan gimnastik ini.

Pehr Ling dan Johan Ludwig Jahn merupakan penggerak utama sukan gimnastik, di mana Ling telah menyediakan asas pergerakan dalam Pendidikan Jasmani dan telah menjadi ikutan banyak Negara. Sementara itu, Jahn pula telah mengembangkan sistem gimnastik yang masih digunakan sekarang. Turnvereine atau kelab gimnastik merupakan idea beliau yang telah berkembang keseluruh Eropah sehingga ke Amerika Syarikat, dan perkataan turners yang bermaksud gimnas ( peserta atau ahli gimnastik ), masih digunakan di sana sehingga sekarang.

Perdebatan tentang tafsiran gimnastik Jerman yang lebih kepada pergerakan di alatan dengan penekanan kepada kekuatan otot dan daya tahan dibandingkan dengan penberian relative Swedish yang berdasarkan pergerakan berirama telah diperkatakan beberapa tahun kemudian. Pergerakan ini telah merebak ke Negara Inggeris di mana Skim Latihan Jasmani Tentera Bersekutu telah di tubuhkan dalam tahun 1860 yang lebih dikenali sebagai Staf Gimnastik Tentera. Kemudian daripada itu, Persekutuan Amatur Ginmastik telah ditubuhkan dalam tahun 1888. Perkembangan sukan ini terus mendapat sambutan dan pada tahun 1908, Alberto Braglia dari Itali telah memenangi johan keseluruhan acara gimnastik di Sukan Olimpik di London.

Selepas Perang Dunia Pertama, sambutan dan perkembangan gimnastik di England telah merosot disebabkan tanggapan bahawa ia berasal dari Jerman. Kemudian pihak berkuasa pendidikan pula telah mengharamkan pengajaran yang menggunakan alatan. Bagaimanapun selepas Perang Dunia Kedua, kerajaan Inggeris telah memberikan sokongan, dan pengaruh yang dimainkan oleh televisyen telah mengembalikan kepopularan sukan gimnastik ini. Walau bagaimanapun, di Negara-negara asal di mana gimnastik mula berkembang tetap terus maju dan menjadi sukan yang popular dan membawa kemegahan di peringkat Olimpik.


ZAMAN MODEN

Gimnastik moden, seperti yang dikawal oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa terbahagi kepada 7 kategori :


•      Gimnastik artistik (artistik lelaki, artistik wanita)

•      Gimnastik berirama

•      Sukan aerobik

•      Sukan akrobatik

•      Trampolin

•      Tumbling

•      Gimnastik untuk semua (gimnastrada)


PERKEMBANGAN GIMNASTIK DI MALAYSIA


Gimnastik merupakan salah satu sukan pilihan yang wajib dipelajari oleh semua murid sekolah di Malaysia. Sejarah perkembangan awal sukan tersebut menunjukkan bahawa gimnastik pada mulanya berfungsi sebagai alat kecergasan badan dan akhirnya berkembang sehingga dipersembahkan pada masyarakat umum. Gimnastik adalah satu sukan yang melibatkan prestasi pergerakan yang berulang-ulang, malah ia memerlukan kekuatan  fizikal, kebolehlenturan (flexibility) dan kesedaran kinestatik seperti semasa melakukan hamburan dan lain-lain.


Kemahiran Gimnastik telahpun diajar di sekolah-sekolah dan institut pendidikan guru melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani sejak zaman penjajahan lagi, iaitu kira-kira dalam tahun 1900. Murid-murid hanya diajar senaman lantai, imbangan dan melombol. Gimnastik dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu termasuklah Gimnastik Artistik, Gimrama, Trampolin, Tumbling, Gimnastrada, Sport Aerobik dan juga Gimnastik Akrobatik. Bagi menguasai setiap gimnastik, konsep asas gimnastik perlu dikuasai terlebih dahulu iaitu konsep imbangan, kelenturan dan konsep koordinasi.


Menerusi perkembangan sukan gimnastik yang semakin mendapat perhatian masyarakat dunia, pengaplikasiannya dalam bilik darjah merupakan langkah yang baik bagi mengasah bakat setiap individu pada peringkat awal khususnya pada kanak-kanak prasekolah. Pertandingan gimnastik antara sekolah-sekolah yang pertama telah diadakan pada 24 November 1962 bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur bagi murid-murid lelaki sahaja. Pertandingan untuk murid-murid perempuan hanya dapat diadakan pada tahun 1980 sahaja. Gimnastik telah mendapat sambutan ramai melalui pertunjukan di perayaan Hari Kebangsaaan dan temasya sukan sekolah-sekolah setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Kini sukan gimnastik telah berkembang begitu baik sehingga kesemua Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri telah mengambil bahagian dalam kejohanan gimnastik anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia.


Pada tahun 1989 Malaysia telah menang lima pingat emas dalam gimrama di Sukan SEA melalui Faiznur Miskin. Pada tahun 1991 Malaysia telah memenangi pingat emas yang pertama dalam Sukan Sea melalui Kau Git Kaur dalam acara melombol

dan pada tahun 1993 Lim Wai Chee pula telah menang pingat emas dalam acara melombol untuk menyumbang pingat emas pertama dalam gimnastik artistik wanita Malaysia. Malaysia telah menyertai pertandingan gimnastik dalam Sukan Komanwel sejak 1998 hingga sekarang. Pada tahun 2004 seorang gimnas iaitu Ng Shu Wai telah mewakili Malaysia dalam Olimpik di Athens, Greece.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan